Robin van Persie menyokong Arsenal untuk mengetepikan cabaran Manchester City, seterusnya menawan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak musim 2003-04.

The Gunners memasuki jadual antarabangsa dengan kelebihan lapan mata untuk mengatasi juara bertahan kendalian Pep Guardiola itu yang mempunyai satu perlawanan lagi di dalam tangan tatkala hanya berbaki 10 perlawanan lagi untuk menentukan sang juara.

Bulan depan yang penuh berliku menanti Arsenal sepanjang April ini apabila perlu bertandang ke Liverpool dan City selain pertembungan di tempat sendiri dengan Chelsea, manakala Newcastle United menanti pada Mei.

Arsenal pernah gagal dalam usaha mereka menamatkan kemarau trofi EPL dan pengalaman mentah pasukan itu dalam situasi sedemikian mengundang kebimbangan tetapi bekas kapten, Van Persie, tidak melihat ia satu isu yang boleh menyekat kejayaan mereka.

"Arsenal beraksi dengan sangat baik, mereka bermain secara tekal. Mereka menyajikan bola sepak yang sangat bagus yang menarik untuk ditonton," katanya selepas perlawanan Rangers' Match of Legends.



"Mereka cukup bertenaga, bertahan dan bijak menyerang.

"Ia kelihatan sangat bagus. Pada pendapat saya, mereka memang layak memenangi liga.

“Apa pun kedudukan mereka masih sukar kerana City pasti akan memberi tekanan kepada Arsenal hingga hari terakhir.

"Jika anda melihat tempoh ini, di sinilah setiap mata menjadi sangat berharga. Terdapat beberapa perlawanan yang sukar yang perlu ditempuhi tetapi mereka mampu mengutip tiga mata di sana, inilah elemen yang dimiliki sebuah pasukan yang bergelar juara.

"Mereka telah membuktikannya tetapi perlawanan terakhir sentiasa sukar. Ia akan menjadi menarik untuk disaksikan tetapi pendapat peribadi saya, mereka akan melaksanakannya dan mereka akan memenangi liga.

"Sudah agak lama jadi saya pasti tumpang gembira andai mereka memenanginya."