RENNES 2 PSG 0

Rekod kebal Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Ligue 1 lebur dengan kekalahan 0-2 tanpa sebarang percubaan tepat kepada Rennes, sebentar tadi, di sebalik kekal di persada.


Pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu menang kelapan-lapan perlawanan liga sebelum perjalanan mereka ke Roazhon Park itu selain 15 aksi tanpa kekalahan dalam pertandingan berkenaan sejak awal April.

Tetapi pelawat terpaksa membayar harga yang mahal selepas Neymar dan Kylian Mbappe gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila Gaetan Laborde dan Flavien Tait berhasil menggegar gawang mereka.

Dalam perlawanan itu, jaringan Mbappe dibatalkan akibat ofsaid sementara sepakan percuma Lionel Messi hampir menemui sasaran apabila terkena palang pintu gol lawan untuk PSG terus buntu bertindak balas dalam kekalahan itu.

Masalah perjalanan memaksa pemain PSG bertandang ke Rennes itu dengan bas malam tadi dan situasi itu nyata menjejaskan mereka yang membuat permulaan lembab.

Rennes pada awalnya gagal untuk menguji Gianluigi Donnarumma dan PSG segera mengambil peluang itu menerusi kelibat Neymar dan Mbappe.

Begitupun, voli bintang Brazil itu ketika tidak dikawal di jarak enam ela dan percubaan Mbappe pula meliar tatkala hanya berhadapan dengan Alfred Gomis, dua minit berselang.






Rembatan Messi kemudian terpalang sebelum hantaran lintang Kamaldeen Sulemana diterjemahkan Laborde biarpun cuba dikekang Nuno Mendes.

Jaringan kedua tuan rumah tiba hanya 18 saat selepas rehat apabila umpanan Laborde menemui Tait yang diberi banyak ruang untuk melepasi Donnarumma.

Jaringan itu disahkan selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) sementara satu usaha PSG dibatalkan oleh teknologi itu, 21 minit sebelum masa kecederaan apabila penyudah Mbappe tidak diiktiraf kerana ofsaid.

Khidmat VAR juga diperlukan untuk memutuskan sepakan penalti selepas Achraf Hakimi dijatuhkan Laborde, namun Rennes kekal selesa mempertahankan kedudukan.