Selepas bertahan selama 10 perlawanan tanpa kalah, rekod yang dipegang Liverpool pada musim ini akhirnya lebur apabila tewas tipis di tangan West Ham United (2-3) walaupun dikatakan Jurgen Klopp tidak berpuas hati dengan tahap mutu pengadilan pada lawanan itu.

Namun, nasi sudah menjadi bubur apabila masa tidak boleh diputarkan balik sebaliknya pemain-pemain Liverpool perlu menyalahkan diri sendiri walaupun berjaya mendominasi permainan.

Itu boleh dilihat daripada statistik perlawanan dengan 70 peratus penguasaan permainan dikuasai Liverpool berbanding dengan anak didik David Moyes.

Kesilapan dalam aspek bertahan ketika sepakan sudut dan transisi pantas yang dilakukan West Ham itu dengan begitu mudah memerangkap Liverpool.

Lihat sahaja dua gol yang dijaringkan oleh West Ham melalui sepakan sudut apabila pemain-pemain Liverpool bagaikan tidak peka dengan keadaan sekeliling dengan membiarkan pemain The Hammers dengan mudah untuk melakukan tandukan.

Inilah kesilapan yang dilakukan pemain-pemain Liverpool apabila mengamalkan “zon marking” ketika sepakan sudut dilakukan lawan dan sekiranya Liverpool mengamalkan “man to man marking” mungkin ia akan jadi berbeza kerana setiap pemain akan terus mengekori pemain lawan apabila mula bergerak.






Sementara itu, kehilangan tumpuan ketika bertahan juga membuat pemain The Reds gagal mempertahankan pintu gol mereka.

Itulah punca sebenarnya membuatkan The Reds kehilangan mata berharga dan jatuh ke tangga keempat liga.

Apa yang perlu dilakukan Klopp selepas ini ialah memperbaiki kelemahan itu supaya anak didiknya terus dapat menumpukan tumpuan pada setiap saat dan minit permainan terutama sebelum berhadapan dengan Arsenal.

Jika The Reds gagal memperbaiki masalah yang mereka alami itu dengan secepat mungkin, sudah pasti akan merugikan The Reds sendiri apabila terus kehilangan mata kerana ketika ini jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga iaitu Chelsea tidaklah begitu ketara sekali.

Selain itu, bahagian serangan The Reds perlu terus mengekalkan ketajamannya terutama daripada penyerang prolifik mereka, Sadio Mane dan Mohamad Salah, memandangkan ketika bertemu West Ham mereka agak sukar menembusi benteng terakhir The Hammers.

Sekiranya masalah dapat diselesaikan segera, ia pasti akan memberi tekanan kepada Arsenal nanti.