Sabah menafikan tanggapan ramai bahawa mereka akan melakukan rombakan besar menjelang pembukaan Liga Malaysia musim 2024/25 pada Mei depan apabila mengekalkan enam pemain import daripada musim lalu.

Enam pemain berkenaan ialah ketua pasukan, Park Tae-su, selain Gabriel Peres, Miguel Cifuentes, Telmo Castanheira, Saddil Ramdani dan Ramon Machado.



Ia merupakan perkembangan positif buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee berkenaan, terutama dalam memastikan mereka dapat berbelanja dengan lebih berhemah musim ini.

Menerusi segmen redONE Mobile Keluar-Masuk Liga M yang dibawakan oleh redONE dalam Nadi Arena sebentar tadi, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, berkata: "Untuk meneruskan konsistensi musim lalu, kita tahu Sabah mara jauh dalam saingan Piala AFC, jadi seharusnya mereka meneruskan apa yang telah mereka lakukan musim lalu.

"Saya juga gembira melihat Saddil Ramdani dan Ramon Machado kekal di Sabah. Saya cukup berminat melihat dua pemain ini di bahagian serangan. Mereka sangat-sangat berkesan dan sangat-sangat berbahaya.

"Jika dibenarkan mereka dalam kawasan D, gol lah jawabnya.

"Penyokong Sabah juga pasti gembira melihat pemain import utama mereka kekal musim ini, jadi pastinya mereka mengharapkan sesuatu yang lebih manis untuk dicapai musim ini."

Menurut Fadhirul lagi, Sabah juga kini sedang menguji seorang lagi pertahanan import lain, iaitu Haris Stamboulidis, dari Australia tetapi masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pasukan itu.