Brighton & Hove Albion FC, menelesuri ke tangga ke-4 dalam carta Liga Perdana Inggeris selepas meraih mata sebanyak 12 mata dengan memegang rekod menang empat perlawanan dan hanya satu kekalahan terhadap Everton, melangkaui rekod permulaan mereka pada musim lepas di mana mereka hanya mampu mendapatkan kemenangan untuk perlawanan ke tiga pada bulan Januari 2021.



Graham Potter, pengurus Brighton yang bertanggungjawab ke atas rekod cemerlang permulaan musim Liga Perdana Inggeris 21/22 ini memulakan perjalanan kerjayanya sebagai seorang pengurus bolasepak pada tahun 2010 di kelab Östersund, Sweden di mana kelab itu baru sahaja diturunkan ke divisyen ke-empat untuk pertama kalinya sejak kelab ditubuhkan pada tahun 1996.

Potter dicadangkan oleh penolong pengurus Swansea City kepada pengerusi kelab tersebut, Daniel Kindberg. Sebelum itu, Potter hanya sekadar mempunyai pengalaman sebagai jurulatih kepada University of Hull, pasukan bolasepak wanita Ghana, pasukan universiti England dan dan Leeds Metropolitan University.

Dalam masa dua tahun pertama dalam kontrak Potter bersama Östersund, kelab tersebut berjaya melayakkan diri ke divisyen kedua, pertama kali dalam sejarah pertubuhan kelab tersebut. Seterusnya kelab ini yang tidak pernah bermimpi untuk beraksi dalam divisyen pertama dalam liga bolasepak Sweden, meletakkan nama kelab tersebut di pentas utama untuk beraksi dengan kelab-kelab yang lebih besar dalam Liga Allsvenskan, dibimbing kemas oleh Graham Potter.

Apabila Östersund mendapat tiket ke pentas Eropah, dan mencatat kemenangan 2-0 terhadap kelab besar Turki, Galatasaray dan kemudiannya memperoleh keputusan seri di Istanbul, di sambut dengan sorakan penyokong kelab Galatasaray sendiri. Galatasaray, kelab yang terkenal dengan kumpulan ultras dan penyokong yang sentiasa membuat drama epik di setiap perlawanan yang disertai kelab mereka, menunjukkan rasa hormat dengan memberi tepukan kepada kelab Östersund apabila pasukan itu berjalan keluar padang. Penyokong Galatasaray tidak pernah membuat sebarang sambutan atau tepukan hormat sebegini terhadap mana-mana pihak lawan sejak kelab itu ditubuhkan pada tahun 1905.



Mengorak langkah kembali ke Liga Inggeris dengan meninggalkan Östersund di tempat yang jauh lebih baik sebelum kedatangan beliau, Potter mencabar diri di Swansea City sekaligus menolong Swansea mencari identiti kelab itu kembali selepas tersingkir dari Liga Perdana Inggeris musim sebelumnya. Swansea secara berat hati terpaksa melepaskan Potter ke Brighton selepas satu musim atas dasar perubahan-perubahan yang sangat positif dibawa oleh Potter ke atas kelab tersebut.



Kini, Potter sudah berkhidmat untuk Brighton selama tiga musim. Potter, yang dianggap oleh Pep Guardiola sebagai antara pengurus bolasepak kelahiran England yang berbakat besar di abad ini, menunjukkan kebolehannya dengan jelas untuk mengendali pasukan Brighton secara progresif dan bukannya dalam bentuk konvensional, selaras dengan visi moden kelab tersebut.

Kemenangan ke atas Burnley, Watford, Brentford dan Leicester merupakan satu representasi permulaan terbaik untuk Brighton dalam kempen Liga Perdana Inggeris setakat ini. Betul, mungkin ada kelebihan dari segi jadual dan susunan perlawanan tetapi jangan lupa kelab-kelab yang dikalahkan Brighton ini juga dapat memperoleh kemenangan terhadap beberapa kelab yang lebih besar seperti Arsenal. Leicester juga terletak di dalam 'bracket' kelab sebesar Everton, dan Brighton mampu memperoleh 3 mata dari perlawanan tersebut.

Jika kita melihat pada musim lepas, Brighton mampu beraksi dengan baik meskipun tidak dapat dijustifikasi dari segi keputusan dan perolehan mata. Walaupun ini baru musim ke-tiga Potter bersama kelab tersebut, majoriti penyokong dan badan pengurusan faham dengan jelas misi dan projek Potter tersendiri yang ingin meletakkan kelab itu di tangga 10 terbaik pada akhir musim.

Penyokong berasa puas hati dengan corak permainan dan falsafah bolasepak yang diadaptasi ke atas skuad yang rata-rata mempunyai pemain muda oleh pengurus muda tersebut.

Secara taktikal, jelas Potter mempunyai pilihan sendiri untuk sentiasa mencipta 'build-up play' secara perlahan dari belakang. Disebabkan itu, kita sering melihat pemain seperti Bissouma yang memegang posisi midfielder akan sentiasa 'drop' ke kawasan 'half-spaces' dalam kotak penalti untuk menyumbang kepada 'attacking-play' Brighton.

Kehilangan Ben White tidak mendatangkan masalah besar untuk Potter untuk terburu-buru mencari penggantinya, kerana dengan kembalinya Shane Duffy dari 'loan' bersama Celtic, Potter berasakan beliau mempunyai pelbagai alternatif yang bagus dalam kawasan tersebut seperti Lewis Dunk, Dan Burns, Joel Veltman dan ia merupakan cabaran besar ke atas dirinya sendiri untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian yang kreatif dengan memaksimakan penggunaan pemain-pemain di dalam tangan.

Perjalanan Brighton untuk meletakkan status kelab itu di antara 10 kelab terbaik di akhir musim masih panjang. Persepsi bahawa Brighton masih mempunyai kekurangan dari segi klinikal terutamanya untuk posisi 'centre-forward', meskipun penjaring terbanyak kelab untuk setakat ini, Neal Maupay dengan 8 gol di dalam tangan. Walaupun Brighton mempunyai empat penjaring gol yang berbeza musim ini, belum pasti sejauh mana tahap konsisten ini akan terus berlaku apabila berhadapan dengan kelab-kelab lebih besar.

Yang pasti, pengikut-pengikut Liga Perdana Inggeris perlu memberi lebih perhatian terhadap perjalanan Brighton di bawah sistem pengendalian Potter ini pada musim 21/22. Tentunya mengujakan!