REAL MADRID 1 ATHLETIC BILBAO 0

Carlo Ancelotti gembira dengan kemampuan Real Madrid merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao dalam LaLiga awal pagi tadi walaupun menyedari pasukannya tidak dapat memaparkan aksi terbaik di Santiago Bernabeu.

Karim Benzema, yang turut menemui sasaran ketika menewaskan Sevilla 2-1 hujung minggu lalu, menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-40, di mana ia merupakan jaringan liganya yang ke-12 musim ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu kini telah menjaringkan 35 gol daripada 46 perlawanan dalam kesemua kejohanan sepanjang 2021, sekali gus menyamai rekod terbaik tahunannya bersama Los Blancos (35 gol daripada 50 perlawanan pada 2019).

Pasukan tuan rumah itu bergelut untuk memastikan kemenangan kelima berturut-turut mereka dalam LaLiga, di mana pelawat melakukan 18 percubaan ke gawang Thibaut Courtois sepanjang perlawanan itu.

"Benar lawan kami mempunyai lebih waktu rehat dan mereka amat bagus," kata Ancelotti dalam sidang media.

"Dalam babak pertama, kami melakukannya dengan baik. Dalam babak kedua, kami gagal melakukan lebih hantaran berbanding yang pertama dan kami menderita.

"Kemampuan untuk melalui penderitaan adalah kualiti pasukan ini. Kami tahu bagaimana untuk bermain bola sepak dan kami tahu bagaimana untuk menderita apabila cara bola sepak yang kami ingin mainkan tidak dapat dilakukan.

"Real Madrid tidak pernah mengalah. Perwatakan dan komitmen kami amat kuat. Adakalanya, apabila kami tidak dapat menggunakan kualiti kami, kami mampu menggunakan kualiti lain.

"Saya suka penamatnya berbanding separuh masa pertama -- kami kehilangan sesuatu pada ketika itu," katanya.

Keputusan itu meletakkan Madrid berkelebihan tujuh mata di depan pasukan di tangga kedua LaLiga, Atletico Madrid, walaupun pencabar kendalian Diego Simeone itu berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Seterusnya, Los Blancos akan berdepan pasukan di tangga ketiga, Real Sociedad, di gelanggang lawan itu hujung minggu ini.