REAL MADRID 3 LAS PALMAS 0

Real Madrid bangkit daripada aksi longlai di Stadium Wembley, Rabu lalu, apabila menundukkan Las Palmas 3-0 dalam aksi di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Dalam perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Zinedine Zidane itu dikejutkan dengan kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), sekaligus terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengesahkan tempat dalam pusingan kedua.

Menentang Las Palmas yang bergelut dalam kelompok bawahan, Karim Benzema hampir mengejutkan pelawat seawal minit ketiga selepas menerima hantaran Cristiano Ronaldo tetapi percubaan penyerang berusia 29 tahun itu diselamatkan oleh penjaga gol, Raul Lizoain.

Hantaran lintang Marcelo dari sebelah kiri kemudian berjaya ditanduk oleh Ronaldo yang berada di dalam kotak penalti, namun sekali lagi Lizoain cemerlang menangkap kemas bola.

Los Blancos akhirnya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Casemiro setelah pemain tengah Brazil itu menyudahkan sepakan sudut dari sebelah kanan oleh Isco, meletakkan Real Madrid mendahului 1-0 menuju rehat.

Marco Asensio menambah jaringan buat skuad bimbingan Zidane pada minit ke-56, kali ini menerusi sepakan separa voli selepas menerima bola muntah daripada tendangan percuma Toni Kroos dari sebelah kanan tatkala Lizoain hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Kroos juga berpeluang untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring apabila pantas melepasi halangan seorang pertahanan Las Palmas sebelum melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun, pelawat bernasib baik setelah Lizoain yang sudah terkeluar daripada posisi asal sempat menghulurkan tangan untuk menepis keluar bola percubaan itu.

Walaupun pelawat cuba untuk merapatkan jurang, Real terus melebarkan kedudukan, kali ini menerusi Isco, selepas pemain tengah Sepanyol itu menyempurnakan hantaran lintang Ronaldo dari sebelah kanan pada minit ke-74.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat permainan, meletakkan Real Madrid di tangga ketiga liga dengan 23 mata, berkongsi mata dengan pasukan jiran, Atletico Madrid, tetapi ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona.