Kelab Bola Sepak Liga M3, Real Chukai, dari Terengganu baru-baru ini menyelesaikan pembangunan prospektus penajaan untuk musim 2023.

Ahli lembaga pengarah kelab dari Pantai Timur itu sebulat suara meluluskan prospektus penajaan yang turut dibangunkan bersama dengan bantuan daripada Linda Workroom.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Real Chukai, Ammirul Hakim Osman, berkata: “ Ia adalah langkah pertama dalam proses ini. Sekarang kita hanya menunggu laporan audit kewangan kelab bagi tahun 2022 di mana kita akan sertakan dalam prospektus ini.

"Ini adalah langkah penting bagi persediaan awal Real Chukai untuk memancing penajaan untuk musim 2023.




“Saya turut berterima kasih kepada Muhammad Yunus (Linda Workroom) selaku orang penting dalam membantu kelab menyiapkan prospektus penajaan ini tepat pada waktunya untuk EISKL 2022.”

Real Chukai dijangka mengambil bahagian di Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022.

University College TATI (UCTATI) dan Voltra sebelum itu menyatakan minat untuk melanjutkan penajaan sehingga 2023.

Wakil Voltra dan UCTATI dikatakan bertemu dengan Pegawai Eksekutif Real Chukai dengan perjanjian penajaan yang akan dimuktamadkan pada bulan ini.

Real Chukai mengalu-alukan bakal rakan kongsi dan penaja untuk melawat booth kelab di ekspo itu yang dijadualkan pada Khamis ini hingga Ahad.

Kredit: Sinar Harian