Kapten dan pertahanan Selangor, Mohd Razman Roslan, yakin moral pemain-pemain skuad Merah Kuning kini berada di tahap terbaik selepas kejayaan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-2 dalam aksi Piala Malaysia, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Razman enggan memandang mudah keupayaan lawan seterusnya, Kelantan, apabila saingan Liga Super kembali bersambung esok.

Selangor kini masih belum tewas dalam empat perlawanan terakhir, namun Razman enggan menjadikan rekod itu sebagai ukuran kekuatan pasukannya untuk berdepan Kelantan.

Razman sedar bahawa Kelantan adalah lawan yang sukar diramal dan sudah pasti gergasi Pantai Timur itu tidak akan memberikan laluan mudah buat Selangor.

"Seperti yang kita tahu, Kelantan merupakan pasukan yang baik dan mampu memberikan masalah, jadi kami harus menampilkan persembahan terbaik," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, P. Maniam, mengakui tiga mata adalah sasaran utamanya apabila berdepan Kelantan kerana ia amat penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga musim ini.

"Kami mahu beraksi lebih baik dan sebagai satu pasukan.

"Pemain-pemain perlu lebih fokus dan tidak mudah melepaskan jaringan," ujar Maniam.