Pengendali England, Gareth Southgate, memberi bayangan bahawa penyerang muda Manchester United, Marcus Rashford, akan beraksi dalam Kejohanan Eropah 2017 bersama skuad B-21.

Pemain berusia 19 tahun itu telah membuat lima penampilan bersama skuad senior, termasuk disenaraikan dalam skuad 23 pemain ke Euro 2016.

Southgate -- yang baru sahaja dilantik selaku pengendali sepenuh masa skuad Three Lions -- menyaksikan Rashford meledak hatrik buat skuad B-21 ketika menang 6-1 ke atas Norway.

"Untuk maju ke hadapan, musim panas tahun depan merupakan peluang terbaik untuk sekumpulan pemain muda yang telah berkerja keras untuk layak ke Kejohanan Eropah," jelas Southgate.

"Marcus akan menimba pengalaman berharga daripada kejohanan ini tetapi kerana dia masih muda, saya enggan meletakkan beban yang besar ke atasnya. Jadi, kami akan menilai terlebih dahulu apa yang terbaik untuknya.

"Saya teruja dengan skuad senior ketika ini dan juga barisan pemain muda. Saya kenal hampir kebanyakan daripada mereka."