Raphinha akan sentiasa terhutang budi kepada Marcelo Bielsa atas peluangnya menyertai Barcelona dan Brazil selepas mereka bergandingan di Leeds United.

Pemain sayap itu mempamerkan prestasi memukau dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021-22 hingga mencuri perhatian Brazil dan akhirnya berkelana ke Barcelona bulan ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menyumbangkan 29 jaringan EPL buat Leeds -- lima gol lebih banyak daripada mana-mana rakan sepasukan -- sekali gus membantu pasukannya untuk kekal dalam saingan peringkat tertinggi berkenaan.

Sepanjang 19 bulan dalam liga utama England, hanya Son Heung-min daripada Tottenham (131) telah mencipta lebih banyak peluang berbanding Raphinha yang menyerlahkan kreativitinya sebanyak 129 kali.

Raphinha berkembang pesat dalam sistem Bielsa yang menuntut ketahanan fizikal selain tetap mengancam ketika di bawah kendalian Jesse Marsh menuju hujung musim.




Selepas mengukuhkan kedudukannya dalam skuad Brazil menjelang Piala Dunia hujung tahun ini dan mula mencipta sensasi bersama kelab baru Barca, Raphinha tetap terhutang budi kepada Bielsa.

“Dia seorang jurulatih yang banyak membantu saya dari saat pertama saya tiba di Leeds,” katanya kepada Mundo Deportivo.

"Dia sentiasa membuat tuntutan tinggi dan sentiasa menuntut prestasi maksimum. Dia membantu saya menyertai pasukan kebangsaan dan membantu saya ke Barca.

"Jika bukan kerana tunjuk ajar daripadanya baik secara berkumpulan mahupun individu, saya mungkin tidak akan berada di sini."