Ralf Rangnick menafikan mempunyai sebarang masalah dengan Jesse Lingard sambil mengesahkan pemain antarabangsa England itu dan Edinson Cavani sekali dapat diturunkan untuk Manchester United.

Kedua-dua pemain terlepas perlawanan pusingan keempat Piala FA dengan Middlesbrough, yang menyaksikan United tewas menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1 di Old Trafford.

Cavani diberi masa tambahan selepas bertugas di peringkat antarabangsa bersama Uruguay, manakala Rangnick berkata Lingard telah dibenarkan untuk 'mengambil masa untuk menenangkan fikiran' selepas dia tidak dibenarkan meninggalkan kelab itu semasa jendela perpindahan Januari.

Lingard mempertikaikan cadangan yang dimintanya untuk tidak beraksi dalam perlawanan bertemu Middlesbrough, menegaskan kelab itu telah mengarahkannya untuk berehat lebih lama. Rangnick berkata selepas perlawanan bahawa dia mahukan Lingard dalam skuad.

Rangnick telah menafikan tidak ada permusuhan antara dirinya dan Lingard serta sedia melepaskan khidmat pemian itu jika bukan kerana ketiadaan Mason Greenwood.

Pemain berusia 20 tahun itu kini tidak menyertai pasukan berikutan penahanannya atas dakwaan merogol, menyerang, serangan seksual dan ugutan untuk membunuh.

Pengurus sementara United berkata, Lingard dan Cavani yang berusia 29 tahun akan kembali untuk perlawanan Liga Perdana menentang Burnley awal pagi esok.

"Mengenai Jesse, saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya," kata Rangnick. "Dia mengetahui saya sanggup membenarkan dia berhijrah sekurang-kurangnya sehingga isu dengan Mason timbul. Dia menyebut beberapa isu peribadi.

"Kita harus melihat ke hadapan sekarang, tidak ada sebarang masalah antara saya dan Jesse dan begitu juga sebaliknya. Saya sangat gembira mempunyai dia dalam skuad dan dia akan berada dalam skuad untuk perlawanan esok.

"Mereka berdua sedia untuk pasukan dan menjadi sebahagian daripada skuad untuk perlawanan esok di Burnley. Kedua-duanya adalah profesional terbaik, kedua-duanya telah berlatih dengan baik."

United akan beraksi tanpa Fred dan Alex Telles untuk perlawanan di Turf Moor selepas pasangan Brazil itu disahkan positif coronavirus.