Ralf Rangnick tidak terpengaruh dengan aksi goyah dipamerkan Raphael Varane dan Harry Maguire dalam keputusan seri dengan Newcastle United, bertegas bahawa Manchester United gagal bermain baik sebagai sepasukan.

United seri 1-1 di Newcastle Isnin lalu dalam perlawanan pertama dalam 16 hari selepas penularan coronavirus yang memaksa perlawanan berdepan Brentford dan Brighton and Hove Albion ditunda.

Namun ia tidak terkejut apabila permainan United kelihatan berkarat di St James' Park, kerana kelihatan gagal bermain lebih baik berbanding pasukan yang sekadar meraih satu kemenangan sepanjang musim ini.

Malah United bernasib baik atas kegagalan Allan Saint-Maximin pada permulaan separuh masa kedua yang mampu meletakkan Magpies mendahului 2-0.

Lapan daripada 13 percubaan Newcastle menemui sasaran, bermakna David de Gea telah menyelamatkan gawang United tujuh kali -- lebih lima berbanding Martin Dubravka untuk memastikan United kekal dalam perlawanan.

Maguire -- gagal bermain baik hampir sepanjang besar musim ini dan Varane -- menjadi punca kepada gol pendahuluan Newcastle -- menerima banyak kritikan pada hari Isnin, tetapi Rangnick melihat kelemahan United lebih daripada kesilapan dua pertahanan tengahnya itu.

"Varane tidak bermain selama lima, enam minggu terakhir, malah sebelum perlawanan Tottenham, dia mengalami kecederaan," katanya.

"Jadi, secara keseluruhan dalam tempoh tiga bulan lepas, dia tidak bermain begitu banyak perlawanan. Ya, dia melakukan kesilapan sebelum gol pertama yang kami bolos, tetapi selain itu, saya rasa dia bermain dengan baik.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa dia cemerlang, dan sama dengan Harry, tetapi mereka tidak apa-apa. Masalah kami, sekali lagi, kami membenarkan terlalu banyak peluang kepada pasukan lawan.

"Dan ini bukan sahaja masalah di bahagian pertahanan, ia adalah masalah seluruh pasukan dan ia bermula di hadapan, dan kita juga boleh bercakap tentang peranan pemain nombor 10 dalam formasi seperti itu.

"Jadi, saya rasa tidak masuk akal untuk bercakap tentang prestasi individu pemain, kita perlu menjadi lebih baik sebagai satu pasukan."