Penyerang import Kedah, Paulo Rangel, kembali berada dalam perancangan pemangku jurulatih, Azzmi Abdul Aziz, untuk menghadapi MISC-MIFA malam ini walaupun wujud khabar angin dia akan digugurkan sehingga penghujung musim.

Ketiadaan Andik Vermansah yang mengalami kecederaan telah membuka ruang kepada Rangel untuk kembali berada senarai 18 pemain Kedah di Petaling Jaya, malam ini.

Bagi Azzmi, dia masih menagih khidmat Rangel berdepan MIFA walaupun sebelum ini, penyerang kelahiran Brazil itu menimbulkan suasana kurang harmoni bila tidak dipilih dalam kesebelasan utama ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Berdasarkan prestasi yang ditampilkan ketika sesi latihan pada minggu lalu, Rangel sangat positif. Apabila Andik terpaksa disisihkan, saya rasa perlu untuk kami senaraikannya.

"Kami masih ada beberapa masalah kecederaan yang perlu dipantau," kata Azzmi.

Azzmi baru sahaja mengambil-alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Nidzam Adzha Yusoff yang direhatkan oleh pihak pengurusan pada 18 Ogos lalu.

Walaupun memulakan khidmat dengan nota kemenangan di Stadium Darul Aman sewaktu bertemu lawan yang sama ditemui malam ini, Azzmi tidak mahu cepat berpuas hati kerana dalam saingan Kumpulan C, mereka masih kekal di tangga tecorot.

"Kami perlu teruskan apa yang sepatutnya. Kami akan cuba yang positif. Saya juga memiliki pandangan terhadap taktikal yang diterapkan.

"Bukan mudah untuk mengendalikan pasukan besar seperti Kedah, namun saya tetap cuba yang terbaik. Kami akan cuba berkomunikasi dengan baik," tambahnya.