Sergio Ramos menyokong Lionel Messi memenangi Anugerah Ballon d'Or tahun ini, di mana bintang besar Paris Saint-Germain (PSG) itu akan memburu gelaran ketujuh anugerah berkenaan.

Messi antara pilihan untuk memenangi Ballon d'Or 2021 yang akan diumumkan menerusi satu majlis di Paris hari ini.

Penggempur Bayern Munich, Robert Lewandowski, dijangka akan menjadi pesaing utama di samping pemain tengah Chelsea, Jorginho, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan Euro 2020.

Ramos sebelum ini kerap menyokong Cristiano Ronaldo untuk memenangi anugerah pemain terbaik itu tetapi kali ini, dia memilih untuk menyokong bekas seterunya, Messi, yang juga rakan sepasukan barunya di PSG, untuk memenangi anugerah ketujuh, terutama selepas membantu Argentina menamatkan kemarau kejuaraan Copa America.

"Ya, sudah pasti (saya berharap dia akan menang) kata Ramos kepada ESPN.

"Saya akan mempertahankan rakan sepasukan saya. Saya mendoakan tuah dari segenap dunia buatnya.

"Dia berada dalam keadaan terbaik dan saya fikir dia seorang pemain yang benar-benar boleh melakukan perubahan. Dia pemain yang unik dan merupakan satu keistimewaan untuk memilikinya dalam pasukan.

"Saya fikir sedikit demi sedikit, setiap daripada kami akan membawa kualiti tersendiri untuk menjadikan Paris Saint-Germain lebih hebat daripada sebelumnya dan mencapai apa yang mahu dicapai kami," katanya.