Sergio Ramos berkata dia masih mempunyai empat atau lima tahun lagi untuk beraksi di tahap tertinggi biarpun bergelut untuk mendapat minit permainan sejak menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain berusia 36 tahun itu mengalami siri kecederaan dalam kempen pertamanya di ibu kota Perancis itu, di mana dia hanya dapat beraksi sebanyak 392 minit sepanjang tujuh penampilan dalam kesemua kejohanan -- hanya empat daripadanya sebagai kesebelasan pemula.

Bagaimanapun, bekas pertahanan Real Madrid itu mencuri tumpuan ketika PSG menewaskan Clermont 6-1 dalam perlawanan terakhir mereka, di mana Neymar dan Kylian Bbappe menjaringkan hatrik dan Lionel Messi pula melakukan tiga bantuan jaringan.

Ramos menyempurnakan 99 daripada 105 hantaran yang dilakukannya -- rekod tertinggi dalam perlawnan itu -- untuk pasukan pendahulu Ligue 1 berkenaan mencatatkan kemenangan besar.

Pemain veteran itu percaya dia masih boleh beraksi di tahap tertinggi menjelang usia 40an sambil mendakwa dia kini sedang berada dalam keadaan fizikal terbaik.

"Saya melihat diri saya bermain di tahap tertinggi untuk empat atau lima tahun lagi, kemudian saya akan mencari pengalaman baru," katanya kepada Amazon Prime Video di Perancis.

"Di Paris, saya masih ada dua tahun lagi (dalam kontrak saya), saya akan mencuba untuk menjadikannya tiga tahun dan satu tahun lagi kita akan lihat bersama-sama.

"Selagi fizikal saya dapat bertahan, saya fikir kepala saya sentiasa fokus.

"Kini saya amat-amat bersedia dan gembira untuk bermain," katanya.

PSG kini berkelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, Marseille, dalam Ligue 1 dan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu akan berpeluang untuk melebarkan kelebihan itu apabila berdepan pasukan di tangga kedua berkenaan pada hujung minggu ini.