Bayern Munich mungkin sentiasa mengundang tarikan buat jurulatih tetapi Carsten Ramelow tidak menjangka pengendali Jerman, Julian Nagelsmann, akan kembali ke kelab gergasi Bundesliga itu.

Nagelsmann dipecat Bayern pada Mac 2023 selepas berdepan tekanan hebat daripada Borussia Dortmund dalam perebutan kejuaraan Bundesliga.

Thomas Tuchel segera dilantik sebagai penggantinya dan membawa kelab itu meraih gelaran liga ke-11 berturut-turut musim lalu, tetapi bekas pengurus Chelsea itu gagal memenuhi jangkaan musim ini dan akan angkat kaki di penghujung kempen ini.

Xabi Alonso menolak minat Bayern demi kekal di Bayer Leverkusen dan secara tidak langsung calon gergasi Bundesliga itu kekal misteri.

Nagelsmann sedang bersiap sedia untuk memacu Jerman dalam Euro 2024 selaku tuan rumah mulai 14 Jun depan dan bekas pemain antarabangsa, Ramelow, tidak melihat jurulatih itu tertarik untuk kembali ke pangkuan bekas kelabnya.

"Sejujurnya, sukar untuk saya membayangkannya," kata Ramelow kepada Stats Perform apabila ditanya mengenai Nagelsmann akan bersatu semula dengan Bayern.



"Saya akan menjadi terperanjat. Pertama, dia dipecat di Bayern, kemudian dia diberi peluang untuk melatih Jerman dan kini dia akan dilantik semula.

"Saya fikir dia akan kekal sebagai ketua jurulatih Jerman.

"Saya juga berpendapat bahawa Bayern mempunyai idea yang berbeza, jadi mari kita terkejut dengan apa yang mereka lakukan dalam beberapa bulan akan datang."