Ralf Rangnick mengesahkan Bayern Munich telah menghubunginya berkenaan jawatan pengurus mereka yang bakal dikosongkan.

Bayern sedang mencari pengendali baru dengan Thomas Tuchel akan angkat kaki di penghujung musim ini.

Gergasi Bundesliga itu mahu melantik Xabi Alonso tetapi pengurus berusia 42 tahun itu menolak pelawaan mereka termasuk Liverpool demi kekal di Bayer Leverkusen.

Pencarian Bayern kini nampaknya membawa mereka kepada Rangnick, bekas bos sementara Manchester United itu yang kini bertindak sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Austria.

Rangnick, bagaimanapun, bertekad memberi perhatian penuh kepada kempen Euro 2024 yang akan datang.

"Saya didekati wakil Bayern Munich dan saya telah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Austria," kata Rangnick dalam temu bual dengan 90 Minuten.





"Kami amat saling mempercayai. Fokus saya adalah kepada pasukan kebangsaan Austria. Kami mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan Eropah.

"Saya berasa sangat senang di sini. Buat masa ini tiada sebab untuk menangani tawaran ini secara intensif."

Rangnick kaya dengan pengalaman di Bundesliga apabila pernah melatih Stuttgart, Schalke, Hoffenheim dan RB Leipzig.