Adrien Rabiot akan menjadi pemain yang penting buat mana-mana pasukan jika dia meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG), ujar Thiago Silva.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah diketepikan PSG selepas tidak bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama kelab itu bulan lalu, dengan perjanjian sebelum ini bakal terlerai pada penghujung musim ini.

Barcelona, yang dikaitkan dengan pemain berusia 23 tahun itu pada Disember lalu, menafikan telah mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut.

Rabiot telah disahkan terlepas kunjungan pasukan untuk sesi latihan di Qatar dan Silva yakin pemain itu mampu menjadi pemain yang berperanan penting jika dia berhijrah menyertai mana-mana pasukan.

"Jurulatih dan kelab harus berbincang dengan Rabiot. Mereka perlu mencapai persetujuan, cari sesuatu yang penting bagi Rabiot dan kelab," kata Silva.

"Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan ini tetapi Rabiot adalah pemain yang penting buat mana-mana pasukan.

"Kami harus menghormati jika dia mengambil keputusan untuk berhijrah."

PSG bangkit daripada penyingkiran saingan Coupe de la Ligue di tangan Guingamp menerusi kemenangan 3-0 ke atas Amiens kelmarin.

"Seperti yang saya beritahu kepada pasukan, penyingkiran adalah kecelakaan yang tidak diingini, ia berlaku kadang-kala. Kami bukan pasukan yang kebal.

"Kami harus melihat ke hadapan. Menang ke atas Amiens melonjakkan semula keyakinan kami.

"Kami perlu melihat kepada perlawanan-perlawanan yang penting dan meneruskan rentak ini."

PSG tidak tewas selepas 18 perlawanan dalam saingan Ligue 1 dan memiliki kelebihan 13 mata ke atas Lille dengan berkelebihan dua perlawanan.