Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, tidak akan memberi laluan mudah buat Perak walaupun pasukannya hampir pasti ke Liga Perdana pada musim depan.

Bagi Zainal, dia tetap mengharapkan aksi terbaik pemain demi maruah pasukan apabila berdepan skuad The Bos Gaurus dalam Liga Super di Ipoh, malam ini.

"Apa yang penting adalah maruah dan ini juga periuk nasi setiap pemain. Pihak pengurusan akan membuat penilaian terhadap saya mahupun pemain.

"Jadi, mereka perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dan maruah perlu dijaga," katanya.

Dalam pada itu, Zainal menyuarakan kesediaan untuk terus mengendalikan pasukan pada musim depan.

Namun, bekas pengendali Selangor dan Pahang ini menyerahkan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bagi menentukan kedudukannya.

"Jika diberikan peluang, Insya-Allah saya akan meneruskan kerja saya dan saya anggap tugas saya belum tamat.

"Ramai pemain muda yang telah meningkat naik secara individu. Ada yang dipanggil oleh pasukan kebangsaan, termasuk yang beraksi dalam Sukan SEA," tambahnya.

Pulau Pinang kini berada di tangga tercorot Liga Super selepas hanya mengumpul 12 mata daripada 20 perlawanan.