BRUGGE 1 PSG 1

Mauricio Pochettino menegaskan Lionel Messi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sambil Paris Saint-Germain (PSG) perlu mengenal pasti tahap kecederaan pergelangan kaki yang dialami Kylian Mbappe ketika seri 1-1 dengan Club Brugge dalam Liga Juara-Juara (UCL), sebentar tadi.


Pochettino mempertaruhkan Messi, Neymar dan Mbappe buat pertama kalinya untuk bekerjasama mencipta gerakan buat Ander Herrera menjaringkan gol keempatnya dalam empat perlawanan musim ini.

Namun, gol ketujuh Hans Vanaken dalam kancah UCL untuk Brugge mengejutkan jaguh Ligue 1 yang bertaburan bintang itu, sekali gus meneruskan rekod hanya menang sekali dalam empat perlawanan pembukaan terakhir di peringkat Eropah.

Lebih memburukkan lagi keadaan, Mbappe terpaksa dikeluarkan dalam separuh masa kedua selepas diterjah oleh bekas rakan sepasukannya, Stanley N'Soki, dan Pochettino belum dapat mengesahkan sejauh mana tahap kecederaannya anak buahnya itu.

"Mbappe terkehel pergelangan kakinya, dia pernah menghadapi masalah di kedua-dua belah kakinya," kata pengurus itu kepada RMC Sport.

"Kami akan mengenal pasti keadaan sebenarnya esok."





Walaupun hilang khidmat Mbappe, PSG sepatutnya dijangka tetap berupaya untuk menundukkan Brugge, sebaliknya berlaku apabila mereka mempamerkan prestasi hambar di bahagian serangan walaupun satu daripada tiga percubaan Messi menggegar palang selain dia menciptakan tiga lagi peluang menarik.

"Kami memerlukan masa untuk membentuk keserasian mereka (Messi, Neymar dan Mbappe)," katanya lagi.

"Ia memang jelas apabila kami sudah mengakuinya sejak beberapa hari lalu. Kami masih harus membentuk sebuah pasukan.

"Kami tidak mengharungi malam yang baik. Kami perlu kekal tenang, terus berusaha dan mengambil masa yang kami perlukan. Segalanya akan bertambah baik."

Tambahnya: "Tiada siapa yang berasa seronok dengan prestasi mereka itu dan tiada yang boleh bergembira dengan keputusan ini."