Tiada kelibat Lionel Messi ketika Paris Saint-Germain (PSG) cuba mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dalam kunjungan ke Angers, demikian pengesahan dibuat Mauricio Pochettino.

Messi, yang merekodkan lapan gol dan 13 bantuan jaringan dalam 29 perlawanan sejak berpindah ke ibu kota Perancis itu pada musim panas lalu sedang menjalani rawatan keradangan tendon tumit kirinya, sekali gus tidak dapat diturunkan ketika PSG berpotensi muncul juara liga awal pagi esok.

Barisan kendalian Pochettino itu bakal melakar kejuaraan Ligue 1 ke-10 kelab terbabit -- dengan mengatasi keputusan Marseille yang akan berdepan Nantes --- untuk menyamai St Etienne sebagai kelab paling berjaya di pentas berkenaan.

Bagaimanapun, setelah kehilangan Neymar akibat penggantungan, Pochettino mengesahkan Messi antara nama yang akan terlepas perlawanan itu sementara beberapa pemain muda pula berpotensi diketengahkan.

“Beberapa pemain seperti Leo Messi, Marco Verratti dan Presnel Kimpembe akan hilang esok kerana mereka masih menjalani rawatan,” katanya.

“Neymar pula akan digantung.

“Ia akan menjadi peluang kepada pemain yang kurang beraksi untuk mendapatkan sedikit minit permainan dan membolehkan pemain muda menimba pengalaman.

"Pemain seperti Xavi Simons dan Edouard Michut, mereka pernah menimba pengalaman. Mereka benar-benar mampu memainkan peranan penting untuk masa depan kelab ini."




Walaupun mendahului 15 mata di kemuncak Ligue 1 dengan berbaki enam perlawanan, Pochettino menafikan tanggapan bahawa PSG bergelut untuk memotivasikan diri sambil berkata matlamat mereka adalah untuk melakar kejuaraan dengan secepat mungkin.

“Perlawanan ini akan menjadi getir kerana ia boleh membolehkan kami memenangi kejuaraan ke-10 jika kami menang,” tambahnya.

"Sasaran kami adalah untuk meneruskan momentum dalam beberapa perlawanan terakhir kami. Kami memiliki rentetan kejayaan dan kami mahu meneruskan momentum.

"Buat masa ini, kejuaraan masih belum dipastikan lagi, kami harus memberikan tumpuan kepada perjalanan ke Angers untuk menang. Lebih cepat lebih baik. Secara peribadi, ia akan menjadi kegembiraan yang amat besar untuk memenangi kejuaraan Perancis ke-10 ini buat Paris Saint-Germain.

"Kami sentiasa bermotivasi kerana ia diperlukan demi mencapai kemenangan. Kami perlu menghormati bola sepak dan lawan kami hingga hari terakhir kerana itu adalah cara terbaik untuk beraksi dengan bagus.

"Kami berharap dapat memenangi kejuaraan ini dengan segera!"