Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, menawarkan penilaian yang sederhana mengenai prospek untuk Kylian Mbappe kekal bersama kelab gergasi Ligue 1 itu tetapi berkata bahawa "keadaan masih terbuka" di sebalik keinginan Real Madrid untuk mendapatkan pemain itu.

Mbappe, yang memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Paris, telah lama dikaitkan untuk menyertai Madrid dan pemain bintang Perancis itu mendedahkan bahawa dia mahu menyertai pasukan LaLiga itu menjelang musim depan.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo, pada minggu lalu menyelar tindakan Madrid yang dianggap "tidak hormat" dalam percubaan memujuk Mbappe sepanjang dua tahun ini.

Leonardo, bagaimanapun, yakin mengenai peluang pasukan Paris itu untuk melanjutkan kontrak pemain berusia 22 tahun berkenaan tetapi Pochettino enggan terburu-buru dalam menilai masa depan Mbappe bersama pasukan itu.

"Mbappe baik-baik sahaja, dia seorang pemuda yang tenang dengan pelbagai personaliti dan perwatakan yang mesra, dia tahu mengenai perkara ini dan cintakan bola sepak, dia amat matang pada usia 22 tahun," kata Pochettino dalam satu temu bual COPE dan Radio Marca.

"Kylian akan membuat keputusan yang perlu dilakukannya dan kelab ini akan melakukan segala yang boleh untuk mengekalkannya kerana kita sedang bercakap mengenai seorang pemain yang merupakan antara yang terbaik di dunia pada usia 22 tahun.

"Saya kekal dengan fakta bahawa situasinya masih terbuka dan segala-galanya boleh berlaku pada masa akan datang.

"Keadaan pada beberapa bulan lalu boleh berubah pada masa akan datang.
"PSG sebagai sebuah kelab memiliki keinginan dan kemampuan untuk memujuknya dan menawakannya beberapa perkara agar dia dapat kekal di kelab ini dan gembira.

"Masih ada kemungkinan untuk dia mengubah fikirannya," katanya.