Faizal Saari menganggap puncanya digugurkan dalam persiapan skuad hoki kebangsaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak, April depan adalah tidak masuk akal.




Penyerang berusia 29 tahun itu sebelum ini terpaksa menanggung kesakitan di bahagian pinggang ketika bersama kem The Malaysian Hockey Tigers.

"Ini sangat tidak adil dan masuk akal.

"Saya telah beraksi dengan baik dalam liga dengan menjaringkan 14 gol tetapi nama tidak tersenarai untuk (skuad kebangsaan).

"Saya telah banyak menyumbang kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) musim ini.

"Saya tidak pasti kenapa sentuhan saya tidak diperlukan lagi oleh pasukan kebangsaan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Adiknya, Fitri, turut berkongsi nada sama.

Perancang utama kebangsaan itu menyatakan kerap terlepas sesi latihan berikutan terikat dengan jadual pengajian selain masalah keluarga.

"Saya telah dimaklumkan pagi tadi bahawa khidmat saya tidak diperlukan, lagipun saya sendiri perlukan rehat.

"Saya terima keadaan ini cuma apabila ketiadaan saya dikatakan disebabkan ada pemain lain yang lebih bekerja keras, saya berasakan rakyat Malaysia juga tidak akan bersetuju dengan pengguguran ini," katanya pula.