Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganggap Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu masih belum gagal biarpun ketika ini banyak pasukan berdepan masalah tunggakan gaji, misalnya Kedah dan Kelantan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, menjelaskan perlaksanaan langkah itu hanya gagal tahun ini ekoran masalah global yang dihadapi seluruh dunia, iaitu COVID-19.

Ghani turut menyatakan program itu lebih mudah dilaksanakan selepas semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bertukar status kepada FC yang perlu dilengkapkan sebelum akhir September depan.

"Kami memberi tempoh kepada semua pasukan agar menghantar surat jaminan daripada penaja-penaja kepada FAM sebelum 31 Mac lalu bagi memastikan jumlah penajaannya adalah sama.

"Malangnya COVID-19 melanda pada Mac lalu dan semuanya berubah.

"Itulah sebenarnya langkah yang ditunggu-tunggu FAM.

"Apabila status FA ditukar kepada FC, ia sebagai satu petanda yang baik kerana pengurusannya berbeza yang berlandaskan profesional, mereka mempunyai jentera tersendiri (untuk bergerak)," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, di Petaling Jaya, hari ini.