Andrea Pirlo seharusnya tidak bersuara berbanding mempersoalkan kejayaan Napoli yang memenangi rayuan mereka selepas dijatuhi hukuman tewas 0-3 kepada Juventus dan dipotong satu mata, menurut presiden kelab yang berpangkalan di Naples itu, Aurelio De Laurentiis.

Skuad asuhan Gennaro Gattuso itu tidak muncul dalam perlawanan di Turin pada Oktober lalu atas sekatan perjalanan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan berikutan Piotr Zielinski, Eljif Elmas dan seorang lagi anggota kakitangan kelab itu positif COVID-19.

Sehari sebelum sepak mula, Juventus juga melaporkan dua kes positif dalam kalangan staf mereka tetapi menjelaskan bahawa mereka berhasrat untuk menerusikan pertembungan di Stadium Allianz itu.

Pirlo sempat menamakan kesebelasan utamanya namun perlawanan tidak diteruskan ekoran kegagalan Napoli untuk muncul seterusnya mendorong perlawanan itu dibatalkan.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) kemudian memutuskan Partenopei telah mengabaikan protokol COVID-19 yang menyatakan setiap pasukan harus meneruskan perlawanan jika mereka mempunyai 13 pemain termasuk penjaga gol.

Napoli mengheret kes itu ke pihak berkuasa sukan tertinggi di negara berkenaan, Jawatankuasa Olimpik Nasional Itali di Garanzia dello Sport, dan keputusannya memihak kepada skuad kendalian Gattuso itu dengan perlawanan akan diaturkan semula pada 2021.




Pirlo bertindak menyindir keputusan itu dengan mengatakan: "Saya minta maaf kepada pasukan lain yang telah melakukan perjalanan ke mari dan kehilangan mata tanpa memberikan apa-apa alasan, tidak meneruskan perlawanan dengan kehadiran pemain yang tidak dijangkiti COVID-19. Saya berasa lebih kesal di pihak mereka berbanding kami sendiri."

De Laurentiis, bagaimanapun, tidak melatah dengan kenyataan pengurus Bianconeri itu sambil mengatakan bahawa dia harus berpegang teguh kepada aspek melatih pasukan, bukannya mengulas mengenai masalah undang-undang.

"Pirlo bukannya seorang peguam mahupun usahawan. Dia tidak tahu prosedur tertentu dan tidak tahu apa yang berlaku daripada segi protokol," kata De Laurentiis kepada Radio Capital.

"Pirlo harus kekal sebagai jurulatih dan itu saja, lebih baik serahkan jawapan tertentu kepada wakil kelabnya."