Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan jurulatih baru dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, akan diberi kebebasan untuk membentuk acuannya buat Harimau Malaya menjelang kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Badan induk itu mengumumkan pelantikan jurulatih baru, Jumaat lalu, berikutan peletakan jawatan Tan Cheng Hoe selepas kegagalan Piala AFF 2020.

Bekas jurulatih jurulatih B-19 yang mengemudi Kuala Lumpur menjulang Piala Malaysia musim lalu, Bojan Hodak, turut dikaitkan dengan jawatan itu sebelum ini tetapi menetapkan syarat tidak mahu kerjanya sebagai jurulatih diganggu oleh pihak ketiga seandainya dilantik.

"Di bawah kepimpinan, saya lebih terbuka berbanding dulu.

"Saya tidak pasti kalau dia ada masalah peribadi dengan sesiapa.

"Saya lihat tiada ada yang patut melainkan kalau ada yang dia minta FAM tidak mampu (penuhi).

"Tapi untuk mengganggu pemain, saya tidak fikir begitu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, di Nadi Arena sebentar tadi.

Bekas pengendali Hong Kong itu akan tiba di Malaysia pada 6 Februari depan seterusnya mengikuti keseluruhan perlawanan tumpuan saingan Liga Malaysia, bermula perebutan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur pada 26 Februari depan.

Tidak terkecuali membabitkan tiga pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi apabila kelibat mereka bakal dinilai berlandaskan prestasi semasa semata-mata.

"Masalahnya kadang-kadang orang apabila dekat luar baru cakap, tapi ketika di dalam (FAM) tidak.

"Tapi saya tidak nampak tapi orang lain saya tidak tahulah. Saya terbuka.

"Saya ada bercakap dengan jurulatih baru, "anda tidak perlu ikut nasihat orang luar".

"Biar dia mula dengan Piala Sumbangsih. Saya tidak mahu fikirannya diracun oleh mana-mana pandangan agar jangan ambil orang ini.

"Dia tidak mahu ambil pemain naturalisasi pun tidak mengapa. Saya mahu dia tengok perlawanan seperti membabitkan Selangor, JDT dan Kedah (Darul Aman).

"Kalau dia kata tiga pemain (naturalisasi ini) tidak bagus, tidak ambil pun tidak mengapa," katanya lagi.