Pengurus Chelsea, Graham Potter bimbang pemain tengah, N’Golo Kante, mengalami satu lagi masalah kecederaan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara bertemu AC Milan.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 31 tahun itu tidak bermain sejak pertengahan Ogos selepas mengalami kecederaan hamstring dan Potter berharap dapat menurunkan pemain berpengaruhnya itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, semalam dia mendedahkan staf perubatan Chelsea sedang menunggu keputusan ujian selepas Kante yang mengalami masalah dalam latihan.

"N'Golo, kami hanya menunggu -- dia mempunyai reaksi ketika sesi latihan jadi kami hanya menunggu berita mengenai perkembangannya," kata Potter. "Ia sememangnya tidak ideal dan ia mengecewakan untuknya dan kami. Kami perlu menunggu dan melihat sejauh mana kecederaannya."

Potter, yang turut mendedahkan Hakim Ziyech tidak dapat bermain di San Siro kerana pemain sayap Maghribi itu mengalami sakit tekak, akan mengharapkan berita baik berkenaan dengan Kante, yang kekal sebagai salah seorang pemain terbaik Chelsea walaupun mengalami masalah kecederaan.

Thiago Silva bersedia untuk membuat penampilan ke-100 Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu selepas Potter merehatkan pertahanan veteran itu dalam kemenangan 3-0 Sabtu lalu ke atas Wolves.

Pemain Brazil itu menghabiskan tiga musim bersama Milan, memenangi gelaran Serie A pada 2011 sebelum menyertai Paris Saint-Germain pada musim panas berikutnya, dan akan menerima sambutan hangat malam ini. Silva telah menjadi pemain utama Chelsea sejak ketibaannya secara percuma lebih dua tahun lalu.

Pada usia 38 tahun, terdapat keraguan tentang berapa lama dia boleh terus bermain, walaupun Potter semalam berkata terpulang kepada Silva sama ada dia mahu menandatangani kontrak lanjutan sebelum perjanjiannya tamat pada musim panas.

Silva mengesahkan dia berhasrat untuk membuat keputusan sebelum akhir tahun sama ada dia mahu kekal di Stamford Bridge.

Dia berkata: "Pasti akan ada masanya kita perlu bercakap. Ia mungkin sebelum Piala Dunia atau selepas Piala Dunia kerana saya perlu tahu sama ada saya akan mempunyai kontrak baharu dengan Chelsea untuk urusan keluarga saya"