Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sedia melaksanakan pendekatan pemotongan gaji pemain bagi mengelak kantung mereka terus sesak susulan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) akibat wabak koronavirus baru (Covid-19).
Difahamkan, pasukan Liga Perdana itu akan mengadakan pertemuan dengan pemain untuk mengemukakan cadangan berkenaan memandangkan kewangan mereka ketika ini agak terjejas tanpa hasil kutipan tiket ekoran ketiadaan perlawanan.
Mekanisme pemotongan gaji dicadangkan badan induk negeri dari utara itu andai pendekatan berkenaan terpaksa dilakukan bagi memastikan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.
"Kami meminta jasa baik pemain untuk membincangkan hasrat memotong gaji mereka tetapi ini semua bergantung kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), bukannya bergantung kepada satu pihak sahaja.
"Mungkin FAM mahu merujuk kepada Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).
"Mungkin pemotongannya berbeza sedikit di antara pemain yang bergaji lebih dan kurang RM10,000.
"Lagipun mereka hanya menjalani latihan ringan di rumah.
"Mesti ada keseragaman peraturan kerana kami perlu bersikap adil kepada pihak pemain dan majikan," kata pengurus Pulau Pinang, Ong Eng Hua, ketika dihubungi.
Langkah berbeza pula diambil Felda United yang tidak berhasrat mengambil langkah serupa.
"Kami bayar (gaji pemain) seperti biasa dan tidak pernah membincangkannya.
"Kami tidak terfikir ke arah itu. Semua orang; kakitangan, kejurulatihan dan pemain di kedudukan yang sama.
"Latihan pasukan masih seperti biasa dan pemain-pemain kini kekal di rumah.
"Kami sentiasa memberikan maklumat kepada penaja-penaja berkaitan pasukan dan kelab ini melalui applikasi, setakat ini kami tiada masalah," kata Setiausaha Agung The Fighters, Afizal Abu Othman.
Selain itu PFAM menganggap pasukan-pasukan yang menimbangkan untuk memotong gaji pemain sebagai bukan langkah yang tepat.
"Ramai pemain muda yang gajinya tidak sampai Rm4,000, jadi ia tidak adil buat pemain Liga-M.
"Kami akan menerima nasihat daripada Kesatuan Pemain Bolasepak Profesional (FIFPro) kalau diberi arahan boleh runding. Tetapi kalau perlawanan bersambung semula Jun depan, ia mungkin jadi lain," katanya.
Ketua pasukan Terengganu, Lee Tuck, juga sependapat kerana menganggap gaji dalam kancah Liga-M tidak sama seperti yang dinikmati pemain di Eropah.
Shaiful Shamsudin
Mon Mar 23 2020
