Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan persediaan polis dalam mempertingkat tahap keselamatan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih 2024 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Menurutnya, seperti yang dinyatakan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar persediaan keselamatan telah dilakukan oleh pegawai dan anggota polis.

"Keanggotaan diatur dengan begitu ramai dan rapi bagi memastikan keselamatan keseluruhan semua pihak termasuk pemain dan peminat," katanya pada Rabu"

Mengulas mengenai adakah perlawanan itu akan ditangguh, Razarudin menjelaskan perkara itu terletak di bawah keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan percaya keselamatan semua pihak akan terjamin.

Pada Selasa, M Kumar berkata, seramai 1,500 anggota polis akan dikerah bertugas bagi memastikan keselamatan perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu berada pada tahap tertinggi.

Sebelum itu, Selangor FC telah menghantar permohonan secara rasmi kepada MFL agar mempertimbangkan cadangan menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih 2024/2025 melibatkan pasukan itu dan JDT. - Sinar Harian