Mauricio Pochettino percaya Paris Saint-Germain (PSG) akan menjadi juara Ligue 1 yang selayaknya sekiranya mereka memintas Lille pada hari terakhir musim ini sambil mengatakan ia bukanlah satu kegagalan sekiranya ia tidak menjadi kenyataan.

Pochettino, yang mengambil alih tugas dari Thomas Tuchel pada Januari lalu, menyaksikan anak buahnya mempamerkan prestisi tidak tekal dalam liga apabila kecundang kepada Lorient, Nantes, Monaco dan Lille.

Lonjakan akhir musim ini menyaksikan kelab dari ibu kota Perancis itu menghambat Lille dengan jurang satu mata menjelang perlawanan penentuan awal pagi esok.

Kemenangan terakhir ke atas Monaco dalam Coupe de France Khamis lalu bermakna anak buahnya sudah memiliki satu trofi utama, tetapi bekas bos Tottenham itu mengidamkan dua gelaran.

"Dalam bola sepak, anda harus selalu percaya. Itulah prinsip yang sering kami amalkan," katanya.

"Kami akan ke Brest yang diancam penyingkiran sementara Lille menuju ke Angers yang sudah pun terjamin kedudukan mereka.

"Kami sentiasa berfikir bahawa apa sahaja boleh berlaku dan kami harus bersedia untuk menang sekiranya Lille tergelincir di Angers -- sekali gus membuka peluang untuk kami memenangi liga," tambahnya.

"Kami percaya perkara baik akan berlaku. Semua orang akan melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin. Oleh itu, kami berharap dapat menang esok dan juga memenangi gelaran.

"Kami memang berhak menjadi juara, begitu juga pasukan lain yang mungkin berpeluang memenanginya. Sesiapa yang menang memang layak menjadi juara."





Ditanya adakah ia boleh dianggap gagal sekiranya PSG gagal mengekalkan mahkota Ligue 1, Pochettino segera menolak tafsiran sedemikian.

PSG mendominasi saingan dalam tujuh daripada lapan musim terakhir, apatah lagi kejayaan mereka disuntik dengan sokongan dana berbanding pesaing domestik yang lain.

"Di kelab seperti PSG ini, tidak memenangi kejuaraan sering mengundang kekecewaan," katanya.

"Saya tidak pasti apakah makna kegagalan memandangkan ia membawa satu aura yang sangat kuat, tetapi ia akan menjurus kepada kekecewaan dan bukannya kegagalan.

"Memang mengecewakan jika tidak memenangi liga tetapi kami tetap berfikir positif dan ia tidak mustahil."

PSG turut menjuarai Trophee des Champions di bawah kendalian Pochettino --menumpaskan Marseille Januari lalu susulan kejayaan menggondol liga dan Piala Perancis musim lalu.

"Kami berharap mampu memenangi satu lagi trofi. Ia akan menjadi yang ketiga dalam tempoh lima bulan," katanya lagi kepada wartawan dalam satu sidang akhbar malam tadi.

"Kami mengharungi kempen yang baik dalam Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemaraan ke separuh akhir, namun kami kecewa tidak dapat mencapai final. Saya rasa skuad ini dan barisan pemain telah berusaha keras untuk bersaing dengan cara terbaik."

Kali terakhir jurang kecil membabitkan penentuan gelaran liga berlaku pada 2001-02, iaitu ketika Lens mendahului Lyon dengan satu mata tetapi kelebihan tipis itu dipadamkan pada hari terakhir -- secara tidak langsung menjadi azimat buat PSG untuk terus berjuang.