PSG 4 CLERMONT 0

Mauricio Pochettino menegaskan Kylian Mbappe masih sayangkan Paris Saint-Germain (PSG) selepas spekulasi yang mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan ke Real Madrid bulan lalu.

PSG dilaporkan menolak tiga tawaran lumayan yang dikemukakan Madrid untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu, yang kontraknya dengan kelab Ligue 1 berkenaan akan tamat pada penghujung musim ini.

Mbappe setakat ini telah menolak untuk menandatangani kesepakatan baru di kelab itu tetapi spekulasi berkenaan tidak menjejaskan prestasinya, terutama ketika menjaringkan gol kedua PSG sewaktu menewaskan Clermont 4-0 dalam perlawanan liga lewat malam tadi.

Bagaimanapun, sebelum jaringannya itu, terdapat reaksi bercampur-baur daripada penyokong PSG di Parc des Princes dengan sebahagian daripada mereka mula mengejek dan mengecam penyerang muda itu.

Pochettino mendakwa dia tidak mendengar sebarang perkara seperti itu sambil menegaskan Mbappe sentiasa perlu dihormati di PSG.

"Saya tidak mendengar ejekan itu tetapi saya mendengar sorakan yang diterimanya daripada penyokong Paris ketika dia mengambil sepakan penjuru dalam babak kedua," kata Pochettino dalam sidang media.

"Dia seorang profesional yang hebat, pemain yang hebat dan pemuda yang baik, dia amat sayangkan kelab ini. Dia telah menunjukkannya sejak kali pertama tiba di sini.

"Dia fokus untuk memperbaiki diri setiap hari, membantu pasukan dan memenuhi sasaran kelab ini. Dia menunjukkan rasa hormat yang tinggi buat kelab ini setiap hari, anda perlu menghormatinya," katanya.

PSG seterusnya akan bertemu Club Brugge dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu ini dan berpeluang menurunkan rangkaian tiga penyerang yang dibarisi Mbappe, Lionel Messi dan Neymar.