PSG 2 LENS 1

Kylian Mbappe dijangka cergas untuk menghadapi Manchester City dalam pertembungan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL), kata pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino.


PSG merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Lens dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi, selepas mengalami kecederaan betis dalam kekalahan pertemuan pertama di kandang sendiri, Rabu lalu.

Tanpa kelibatnya, Neymar dan Marquinhos masing-masing mengesahkan kemenangan tipis buat juara bertahan itu untuk terus memberi tekanan kepada Lille di puncak saingan selain meniupkan semangat buat gergasi Perancis berkenaan menjelang kunjungan ke City, Rabu depan.

Selepas perlawanan domestik itu, Pochettino masih tidak mampu menawarkan jaminan kecergasan terhadap anak buahnya tersebut biarpun dia menegaskan masih mempunyai pilihan lain di barisan serangan.

"Saya optimis terhadap Kylian," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Kami menilainya dari hari ke hari. Saya rasa dia boleh diturunkan."

Kemenangan itu melonjak PSG ke tangga kedua dengan baki tiga perlawanan tatkala Lille turut memungut tiga mata dengan menundukkan Nice, awal pagi tadi.

Pochettino mengagumi kualiti komitmen pemainnya selepas Lens -- yang mengintai kempen Eropah -- cuba merapatkan defisit gol menerusi penyudah Ignatius Ganago ketika aksi berbaki setengah jam.




"Ini adalah satu perlawanan yang sangat sukar. Lens memperagakan aksi bola sepak yang sangat bagus. Saya amat tertarik dengan corak permainan mereka -- kami menderita," katanya lagi.

"Kami memang layak menang. Kami harus bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan.

"Kami akan melihat keadaan pemain pada hari esok. Jadual ini sememangnya gila terutama dalam keadaan seperti ini. Kami akan menunggu hingga saat-saat terakhir untuk membuat keputusan terbaik."

Pochettino mengakui sukar untuk pulih daripada kekalahan kepada City, lebih-lebih lagi selepas mempamerkan persembahan mengagumkan dalam babak pertama.

Mereka merekodkan sembilan percubaan tepat sementara hanya empat oleh pelawat sepanjang 45 minit aksi pembukaan untuk memimpin permainan menerusi tandukan Marquinhos, tetapi gol Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez dalam babak kedua membolehkan City membawa pulang bekalan selesa.

Justeru, Pochettino nyata gembira dengan tindak balas tahap kecergasan dan sikap yang ditunjukkan pemainnya ketika berdepan Lens.

"Saya suka dengan karakter pasukan saya," katanya.

"Saya tidak melihat mereka keletihan dalam separuh masa kedua. Mereka kelihatan baik daripada segi fizikal.

"Malam selepas menentang City adalah sukar. Selama 45 minit, kami menghasilkan aksi terbaik dalam empat bulan terakhir ini. Ia bukan mudah."