Mauricio Pochettino berkata Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk berbelanja menjelang tarikh tutup jendela perpindahan bulan ini tetapi enggan membincangkan mengenai Tanguy Ndombele.

Pemain tengah Tottenham, Ndombele, dikhabarkan menjadi sasaran utama pasukan pendahulu Ligue 1 itu, di mana terdapat laporan bahawa satu kesepakatan secara pinjaman sedang dibincangkan kedua-dua kelab.

Pochettino membawa masuk Ndombele ke Spurs daripada Lyon pada 2019 tetapi kepulangan pemain perancang itu ke Perancis masih belum dimaklumkan secara rasmi.

Jurulatih berbangsa Argentina itu enggan memberikan sebarang gambaran mengenai minat PSG terhadap pemain berusia 25 tahun itu dalam sidang media malam tadi.

"Saya tidak gemar bercakap mengenai khabar angin atau tentang pemain kelab lain.

"Kami mempunyai skuad dengan kualiti yang besar. Kelab ini telah melakukan usaha yang besar sepanjang msuim panas untuk melengkapkan skuad terbaik bersama dengan keseimbangan yang tepat.

"Jendela perpindahan sedang dibuka. Ia juga bergantung kepada pemain yang tidak mendapat banyak peluang di sini. Atau atas sebab apa pun mereka mahu pergi.

"Jendela perpindahan terbuka dan kelab ini juga sentiasa terbuka. Bukan sekadar untuk mendengar tetapi juga melihat apa yang berlaku dalam pasaran pemain.

"Saya berpuas hati dengan skuad yang saya ada. Kami akan menyelesaikan urusan individu apabila ia tiba," katanya.