WEST HAM UNITED 3 VIBORG 1

Gianluca Scamacca menjaringkan gol pertamanya bersama West Ham ketika membantu The Hammers meraih kemenangan 3-1 ke atas Viborg dalam perlawanan playoff pertama Liga Persidangan Europa (UECL) di Stadium London awal pagi tadi.

Jarrod Bowen dan Michail Antonio turut berada dalam senarai penjaring pasukan tuan rumah itu sambil tandukan Jakob Bonde dalam babak kedua berhasil merapatkan jurang buat pelawat menjelang aksi kedua di Denmark minggu depan.

Tuah The Hammers kelihatan menyinar bersama jurulatih pasukan utama, Billy McKinlay, selepas pengurus mereka, David Moyes, digantung perlawanan susulan kad merah yang dikenakan terhadapnya ketika bertemu Eintracht Frankfurt dalam separuh akhir Liga Europa (UEL) musim lalu.

Vladimir Coufal bertanggungjawab memakai lilitan lengan berikutan ketiadaan Declan Rice dan Aaron Cresswell -- kedua-duanya digantung perlawanan peringkat benua itu -- tetapi pasukan tuan rumah berkenaan berada di depan pada minit ke-24 menerusi tandukan Scamacca selepas menerima lintangan Maxwel Cornet.

Mereka menggandakan jaringan pada minit ke-64 apabila Bowen mencuri bola daripada pihak lawan sebelum melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan Lucas Lund dari jarak 30 ela.

Pelawat merapatkan jurang jaringan berselang lima minit selepas Bonde bijak menghidu peluang sebelum menanduk masuk hantaran Christian Sorensen.

Bagaimanapun, pemain gantian, Antonio, dan Said Benrahma bergandingan untuk mengembalikan kelebihan dua gol tuan rumah pada minit ke-78, di mana Benrahma melakukan larian bijak di sebelah kiri sebelum melakukan umpanan untuk ditolak masuk Antonio.