PKNP FC melengkapkan kuota awang import pada hari akhir pendaftaran pemain hari ini bagi mengukuhkan pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Super dengan ketibaan pemain dari Filipina, Amani Aguinaldo.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan, Abu Bakar Fadzim, malam tadi.

Aguinaldo, 23, adalah pertahanan kebangsaan Filipina dan pernah mewakili Ceres-Negros dalam Liga Premier Filipina.

"Saya berharap Aguinaldo akan dapat memberikan sumbangan besar dan berkesan kepada pasukan.

"Dia sudah lulus ujian serta pemeriksaan kesihatan dan kini hanya menunggu sijil perpindahan antarabangsa (ITC) bagi membolehkannya beraksi dengan PKNP FC, Sabtu ini," katanya.

Sebelum ini, PKNP FC hanya beraksi dengan empat pemain import dalam tiga perlawanan pertama menentang Kedah, Felda United FC dan Petaling Jaya City FC.

Skuad kendalian buah Abu Bakar itu berjaya mengutip satu mata setakat ini.

Barisan pemain import itu ialah Thomas Abbey, Siyovush Asrorov, Coulibaly Yero dan Yashir Pinto.

Kegagalan untuk mempertahankan kelebihan sebelum tumpas 2-3 walaupun ketika bertemu PJ City FC di tempat sendiri membuatkan Abu Bakar bertindak menambah pemain import.

Tindakan pantas Abu Bakar menyaksikan PKNP FC berjaya membawa Aguinaldo ke Ipoh pada masa yang tepat.

"Saya berharap dia calon tepat untuk memperkukuh dan memperkasakan benteng pasukan saya," tambahnya.

Abu Bakar juga tidak berlengah untuk mengambil tindakan terhadap Yero dengan menukar pemain kelahiran Senegal itu dengan dengan pemain PJ City FC, Giancarlo Rodrigues, secara pinjaman.

"Kami mendapatkan Giancarlo secara pinjaman daripada PJ City FC yang mempunyai lebihan pemain.

"Pemain itu beraksi menentang kami baru-baru ini dan kami tahu kemampuannya," katanya.