Andrea Pirlo akan mempertimbangkan untuk tidak lagi meletakkan Cristiano Ronaldo selaku benteng pertahanan selepas Juventus sekali lagi dibolosi daripada sepakan percuma ketika menewaskan Parma 3-1 dalam perlawanan Serie A di laman sendiri awal pagi tadi.

Ronaldo menutup mukanya dan tidak melompat ketika Gaston Brugman menghasilkan gol sepakan percuma gemilang dari jarak 25 lima ela yang melepasi benteng lima pemain Juve dan menewaskan penjaga gol, Gianluigi Buffon.

Pasukan tuan rumah itu kemudian bangkit menerusi dua gol daripada Alex Sandro dalam separuh masa berbeza dan tandukan daripada seorang lagi pemain pertahanan, Matthijs de Ligt.

Bagaimanapun, Pirlo tidak berpuas hati dengan apa yang dipamerkan pasukannya sambil memberi bayangan bahawa Ronaldo -- yang dikritik kerana memalingkan badannya ketika sepakan percuma Sergio Oliveira yang menyaksikan Porto menyingkirkan Juve dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) -- tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada benteng pasukan itu.

"Malangnya, perkara ini berlaku tetapi kami perlu menilai semula mengenainya dalam beberapa hari ini," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami menyukarkan hidup kami dengan memberikan mereka gol pembukaan, kemudian berdepan beberapa risiko dalam gerakan set piece.

"Ia amat menyedihkan kerana kami bertahan dalam situasi bola mati dengan baik musim ini," katanya.

Juventus kini dibolosi dalam kesemua lapan perlawanan Serie A terakhir dan ia merupakan rekod terburuk mereka sejak Mei 2019.

Pirlo mempunyai beberapa pemain pertahanan untuk menyelamatkan pasukannya dengan dua gol yang dijaringkan Alex Sandro ketika menewaskan Parma itu merupakan rekod lebih banyak berbanding sepanjang 115 perlawanan terakhirnya dalam kesemua kejohanan.

Walaupun jurulatih itu gembira pasukannya meraih tiga mata, dia mengakui masih banyak penambahbaikan yang diperlukan.

"Kami terlalu berjauhan dalam babak pertama dan ia menyebabkan gerakan hantaran menjadi perlahan.

"Mungkin kami tidak mengekalkan tahap tumpuan dan rentak dari perlawanan ke perlawanan. Adakala kami terlalu perlahan, terlalu lama memegang bola dan membenarkan lawan mendapatkan ruang dan kesemua itu menyukarkan kami.

"Kami melakukan dengan baik untuk mengubahnya dan kemenangan ini amat penting untuk keyakinan memandangkan kami bermain baik dan perlu mendapatkan tiga mata ini.

"Kami mempunyai pemain dengan naluri tetapi masih tetap perlu memberikan mereka petunjuk untuk kekal di posisi. Mereka melakukannya dengan baik dalam babak kedua, terutama daripada segi kedudukan badan ketika mendapatkan bola," katanya lagi.