Skuad B-19 tahun negara berpeluang untuk menjadi pasukan tetap dalam Kejohanan Piala Sanix selepas mendapat jaminan daripada penaja utama, Yakult Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Berhad, Hiroshi Mamada, pihaknya tidak akan berhenti untuk menyokong pembangunan bola sepak negara melalui program jangka panjang.

Penyertaan skuad remaja negara dalam Piala Sanix dilihat sebagai perintis buat pemain Malaysia beraksi dalam liga bola sepak Jepun.

"Kejohanan ini merupakan peluang terbaik buat skuad Malaysia meraih pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Pasukan yang menyertai Piala Sanix merupakan antara pasukan terbaik bagi diserap ke dalam liga bola sepak Jepun," kata Hamada.

Malaysia menyertai Piala Sanix bermula edisi 2018 dengan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menjadi perhatian pasukan pencari bakat kelab Fagiano Okayama yang terus melamarnya.

Hamada yakin ramai lagi pemain muda negara mampu memikat kelab bola sepak di Jepun dan akan terus mengekalkan skuad negara dalam saingan itu.

"Saya sedang berusaha untuk memastikan Malaysia akan terus bersaing dalam Piala Sanix untuk tahun akan datang."