Penjaga gol skuad B-19 negara, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, tidak mahu lagi dibolosi lima gol, apatah lagi kini diberi peranan lebih besar selaku ketua pasukan menjelang saingan Piala Sanix 2019.

Edisi 2018 menyaksikan skuad negara mengharungi lima perlawanan dengan dua kemenangan dan tiga kekalahan.

Gawang yang dikawal oleh Firdaus ketika itu dibolosi sebanyak lima gol dan melihat kepada tanggungjawab selaku ketua pasukan kali ini, Firdaus bertekad untuk tampil lebih tangkas.

"Apabila dibolosi lima gol dalam empat aksi dalam saingan sebelum ini, saya memang kecewa. Begitu juga dengan sepakan penalti yang diberikan kepada lawan. Jadi, saya mahu mengurangkan jumlah jaringan dibolosi pada kali ini," katanya.

Dalam masa sama, Firdaus turut memuji kelibat beberapa penjaga gol pencabar lain yang hadir daripada kelab Jepun dalam edisi sebelum ini sambil menyimpan hasrat untuk menyaingi kemampuan mereka dalam usaha membantu skuad kebangsaan meraih kedudukan yang lebih baik berbanding edisi tahun lalu apabila Malaysia menamatkan kempen di tempat ke-12.

"Daripada segi teknik asas dan kawalan, mereka memang sempurna. Ketepatan dalam hantaran bola dan komunikasi juga sangat baik."