Percaturan pengendali PKNS FC, Shaifulnizam Khamis, untuk mendapatkan kelebihan dari laman sendiri menjadi buat pasukannya selepas menewaskan Perak 2-0 dalam aksi final pertama Piala Presiden di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi dalam pertemuan kedua di Ipoh nanti, PKNS turun dengan misi mencari gol awal bagi mendapatkan bekalan selesa.

Ternyata percaturan taktikal yang diterapkan Shaifulnizam menjadi apabila dua gol babak pertama sumbangan bekas pertahanan skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, dan Adib Hakimi Mohd Sabri membolehkan PKNS meraih bekalan selesa, sekali gus memberi kelegaan buat pengendali itu.

"Apa yang dirancang menjadi kenyataan di mana kami perlukan gol awal di laman sendiri. Itu yang kami mahukan," katanya.

Bagi ketua jurulatih Perak, K. Nanthakumar, anak buahnya terpaksa akur dengan kebijaksanaan lawan yang menyesuaikan diri dengan pantas dalam perlawanan tetapi bertekad untuk bangkit dalam saingan kedua.

"Kami belum menyesuaikan diri dan dibolosi awal. Kami akan lakukan semula di Ipoh, turun dengan aksi terbaik," katanya.