Seramai kira-kira 120 pemain dari seluruh negeri menyertai sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah, yang bermula sejak dua hari lalu di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pemilihan itu dikendalikan oleh ketua jurulatih, Justin Ganai, dengan dibantu penolongnya, yang juga bekas pemain Sabah, Burhan Ajui.

"Kebanyakan pemain yang hadir adalah mereka yang mewakili daerah masing-masing ketika Piala Ketua Menteri Sabah lalu, termasuk yang bermain dalam pusingan kelayakan serta pusingan akhir di Tawau.

"Sesi pemilihan ini akan berlanjutan sehingga esok dan pemain yang terpilih akan mengharungi satu lagi sesi pemilihan akhir yang dijangka berlangsung pada 28 November depan," kata Justin ketika ditemui dalam sesi berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, Justin turut berharap akan dapat melihat 'sesuatu' yang mampu membantu pasukan pada musim depan.

"Kami juga kini sedang mencari penyerang yang mampu mencipta jaringan buat pasukan dalam saingan Piala Presiden nanti," katanya sambil menambah seramai 25 pemain akan disenaraikan bagi menghadapi saingan itu, musim depan.

Justin menambah setakat ini seramai 10 pemain dari skuad musim lalu dikekalkan untuk saingan musim depan manakala enam lagi dalam pemerhatian.

"Mereka yang tidak lagi dikekalkan dalam pasukan pula sama ada telah melebihi had umur atau dipilih menyertai skuad senior.

"Selain itu, kami juga ada beberapa pemain daripada skuad Piala Belia yang boleh beraksi untuk pasukan Piala Presiden kerana telah melebihi had umur 19 tahun. Bagaimanapun, mereka juga perlu mengharungi sesi pemilihan."