Penyerang muda The President Warriors (TPW), Nik Azli Nik Alias, menyifatkan lima jaringannya dalam perlawanan menentang Melaka semalam sebagai motivasi tambahan untuk terus meledak dalam usaha membantu Kelantan layak ke peringkat suku akhir Piala Presiden, musim ini.

Lebih manis apabila kemenangan besar yang terhasil di gelanggang sendiri itu membuktikan TPW sudah bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United.

“Saya berpuas hati dengan sokongan rakan sepasukan yang mencipta peluang untuk saya menjaringkan lima gol petang ini (semalam).

"Lebih manis, ia dapat lakukan di gelangang sendiri dan membuktikan kami sudah bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut.

“Alhamdulillah, semua pemain telah memberikan aksi terbaik dan mengikut arahan yang dilakukan ketua jurulatih (Mohd Hashim Mustapha),” katanya.

Nik Azli, 20, yakin kemenangan besar ke atas Melaka membolehkan mereka lebih tenang dan bersedia menghadapi empat lagi perlawanan dalam saingan Kumpulan A, Piala Presiden.

“Kami perlu terus fokus untuk menghadapi baki empat lagi perlawanan terakhir selepas bulan puasa dan tentulah kemenangan besar sebelum liga berhenti rehat ini cukup melegakan,” katanya.

Dalam saingan berat sebelah petang semalam, Nik Azli memulakan pesta jaringan Kelantan seawal minit keempat melalui rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Melaka, Mohd Mursyidin Maudoode.

Penyerang muda itu terus membuktikan kehebatan penyudahnya apabila menjaringkan empat gol lagi pada minit ke-10, 21, 28 dan 46 untuk melenyapkan sisa perjuangan skuad Hang Tuah.

Tiga gol lagi skuad Kelantan dijaringkan Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni (minit ke-42), Wan Mohd Azam Mazlan (m-61) dan Muhd Raihan Muhd Huzaizi (m-88), manakala kapten Melaka, Muhd Shamerul Abd Aziz, menjaringkan gol sagu hati pelawat pada minit ke-56.