Maghribi membuka kempen Piala Negara-Negara Afrika 2019 dengan kemenangan lewat 1-0 untuk mengatasi keampuhan pertahanan Namibia yang bekerja keras sebelum pemain gantian, Itamunua Keimuine, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-89.

Jurulatih, Herve Renard, memburu kejuaraan ketiga kejohanan tersebut selepas kejayaan mengemudi Ivory Coast pada 2015 -- tiga tahun selepas membimbing Zambia menjulang kejuaraan yang tidak diduga.

Namun, Maghribi -- sebuah pasukan yang memiliki keupayaan teknikal dan bakat menyerang -- berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pasukan di tangga ke-113 di dunia itu.

Penyerang Dire Dawa City, Keimuine, yang dimasukkan dalam usaha Namibia melakar kejutan, sempat mengasari Sofiane Boufal di sayap kanan sebelum dia tertanduk bola ke gawang sendiri.

Terdahulu, penjaga gol Namibia, Lloyd Kazapua, tangkas menafikan tendangan rendah pemain Ajax, Hakim Ziyech, untuk juara 2012 itu mengehadkan asakan bertali arus lawan kepada dua percubaan tepat dalam babak pertama.

Boufal kemudian diperkenalkan dalam perlawanan untuk menggantikan Mehdi Bourabia di bahagian tengah.

Begitupun, Kazapua terus bertindak cemerlang dengan menyelamatkan satu lagi peluang menarik Ziyech pada minit ke-72 tetapi akhirnya terpaksa akur apabila lencongan sepakan percuma Boufal berakhir dengan tandukan malang Keimuine.