Penyerang sensasi skuad B-22 negara, Haqimi Azim Rosli, mengakui barisan pemain negara perlu mempamerkan aksi lebih kukuh menjelang final Piala Merlion menentang Hong Kong di Singapura malam esok.

Skuad negara mara ke final selepas mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Kemboja semalam tetapi kelihatan beraksi goyah, terutama ketika membenarkan lawan itu bangkit mengikat kedudukan 2-2 dalam babak kedua.

Haqimi Azim, yang sudah melakukan empat penampilan bersama skuad senior kebangsaan, mengakui barisan pemain muda negara memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal ketua jurulatih, E. Elavarasan, tetapi mengakui pendekatan itu merupakan pendekatan sama yang digunakan dalam skuad senior negara.

"Banyak lagi yang kami perlu belajar daripada segi taktikal yang diterapkan jurulatih, terutama daripada segi membuka permainan, hantaran lorongan dan banyak lagi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Ia taktikal yang sama digunakan dalam skuad senior. Saya pernah bermain di bawah jurulatih Kim Pan-gon dan saya tahu cara permainan yang mahu diterapkan jurulatih Elavarasan.

"Jadi, kami yang pernah bersama skuad senior membantu jurulatih Elavarasan untuk menyampaikan cara permainan itu kepada rakan-rakan lain.

"Caranya sama, jadi pemain-pemain baru ini masih belum biasa dengannya tetapi lama-kelamaan, mereka akan memahaminya.

"Kami masih dalam tempoh menyesuaikan diri dan ia merupakan kali pertama kami beraksi bersama sebagai satu pasukan kerana ramai muka baru," katanya.