Empat pasukan pilihan menepati ramalan layak ke suku akhir Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan pusingan 16 kedua sebentar tadi.

Aksi paling menarik disajikan di Kuala Terengganu apabila pasukan tuan rumah, Terengganu FC, mengatasi Sri Pahang FC untuk meneruskan kemaraan.

Berbekalkan kelebihan agregat 5-1 daripada pertemuan pertama di Kuantan, Terengganu melebarkan jurang itu dengan empat lagi gol dalam babak pertama menerusi jaringan berganda Kpah Sherman selain Faisal Halim dan Azam Azmi Murad turut menemui sasaran walaupun Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah seawal minit ke-38.

Sri Pahang cuba melakukan kebangkitan dalam babak kedua dengan jaringan Lee Tuck dan Steven Rodriguez tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemaraan Terengganu ke suku akhir dengan agregat 9-3.

Selangor turut menepati ramalan dengan menyingkirkan Kelantan United selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat terjaring gol ke gawang sendiri pada penghujung permainan di Stadium Petaling Jaya untuk pasukan Gergasi Merah itu mara dengan agregat 3-0.

Di Cheras pula, Kuala Lumpur City FC meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 4-0 selepas Zhafri Yahya menjaringkan gol tunggal ke atas PDRM FC dalam pertemuan kali ini.

Negeri Sembilan FC, dalam pada itu, walaupun terikat tanpa jaringan dengan Kedah Darul Aman FC di Paroi, turut layak ke suku akhir berbekalkan kelebihan agregat 2-1 yang diperoleh di gelanggang lawan pada minggu lalu.

Dengan keputusan itu, Selangor akan berdepan Negeri Sembilan manakala KL City pula akan bertemu Terengganu bagi perlawanan suku akhir pertama hujung minggu ini.