Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias, sukar untuk mengiakan kewajaran Safiq Rahim bertindak kasar persis tandukan Zinedine Zidane dalam pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Tindakan itu mampu membawa kerugian kepada pasukan apabila dilayangkan kad merah kerana hilang pertimbangan terhadap pemain lawan, Faisal Halim.

Namun, ia tenang dibendung walaupun hakikatnya apa sahaja mampu berlaku dalam 80 minit perlawanan menerusi kelibat 10 pemain sahaja di Stadium Sultan Ibrahim.

"Inilah bola sepak, apa pun boleh terjadi. Perkara itu memang di luar jangkaan.

"Tapi kelebihan buat kami kerana menjaringkan tiga gol dalam masa 15 minit, tapi perkara yang terjadi sedikit sebanyak mengganggu perancangan kami.

"Tapi saya harus beri pujian kepada semua pemain kerana memberikan komitmen yang sangat tinggi.

"Kami berjaya mengekang asakan pihak lawan," kata penjaga gol itu.

Harimau Selatan akan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu apabila bakal berdepan kebangkitan gergasi lewat 80-an, Kuala Lumpur City, di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa depan.