Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, menggesa mutu pengadilan segera diperbaiki walaupun perkara itu bukan di bawah bidang kuasa badan pengelola Liga Malaysia berkenaan.

Katanya, perkara itu mencemarkan imej penganjuran Liga Malaysia, sekali gus menuntut mutu pengadilan yang lebih sempurna menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam esok.

Pertemuan Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuala Terengganu, Isnin lalu dipalit kontroversi beberapa keputusan pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, di mana beberapa kekasaran yang dilakukan pemain pelawat tidak dikenakan apa-apa tindakan dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu.

Ia menjadikan isu pengadilan lebih hangat diperdebatkan peminat bola sepak tanah air berbanding kualiti permainan yang ditampilkan kedua-dua pasukan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ab Ghani berkata kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Kalau ikut peratusannya, saya kira amat sedikit tetapi disebabkan (ia berlaku) dalam perlawanan suku akhir dan separuh akhir (Piala Malaysia) ketika ini -- ia berlangsung amat tegang -- jadi, ia mendapat perhatian penonton.

"Maka, pada pandangan saya, mungkin kesilapan-kesilapan daripada pengadil perlu dan harus diperbaiki.

"Di peringkat liga, kami berharap perkara ini dapat diperbaiki dengan segera."