Pertahanan import Perak, Thiago Junior Aquino, masih terkilan kerana impiannya mahu menghadiahkan trofi sulung buat penyokong masih belum terlaksana.

Justeru, Thiago -- antara pemain import yang bertahan lama di negara ini apabila bersama Perak sejak musim 2015 -- berharap penantian itu akan berakhir dalam Piala Malaysia musim ini.

Sejak 2015, dia masih belum dapat memberikan sebarang kejuaraan kepada Perak, dengan pencapaian terbaik ialah mara ke separuh akhir Piala FA tahun lalu.

Piala berprestij itu menjadi satu-satunya peluang untuk Perak menjulang trofi pada musim ini.

Kini, Perak sedia bangkit menentang Pahang dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh malam ini, selepas tewas 3-1 kepada lawan itu di Stadium Darulmakmur, 16 September lalu.

"Saya harap Perak dapat melakukannya. Saya masih percaya kami mampu mara ke final. Saya percaya saya boleh memberi penyokong sesuatu yang istimewa seperti Piala Malaysia atau Liga Super.

"Tetapi, saya minta maaf untuk keadaan ini tetapi kami masih mempunyai peluang dalam Piala Malaysia," kata pemain pertahanan itu.

Seorang lagi pemain Perak, Nazrin Nawi, bertekad mahu memenangi perlawanan sekurang-kurangnya dengan keputusan 2-0.

Tidak dinafikan bebanan yang perlu dipikul, Nazrin pada masa sama berharap sentuhannya menerusi sepakan percuma juga akan menjadi di Ipoh.

"Kami telah ditewaskan 3-1 di Pahang, jadi dalam perlawanan esok (malam ini), kami perlu mencari gol awal sebaik wisel dibunyikan. Selepas itu, kami harus bertenang dan selepas itu, cari lagi satu gol," katanya.