Kelekaan mudah yang diulangi jentera tengah serta pertahanan longgar antara punca Sri Pahang FC tewas di tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Ketua jurulatihnya, Datuk Dollah Salleh, berkata Sri Pahang tumpas kepada pasukan lebih baik iaitu, Terengganu FC (TFC), yang mendominasi dua pertemuan timbal balik itu dengan agregat 9-3.

Menurutnya, juara edisi 2013 dan 2014 itu terpaksa akur cabaran dalam saingan Piala Malaysia tahun ini berakhir setelah tewas di peringkat pusingan 16.

"Barisan pertahanan begitu longgar dan nampak kelemahan ketara dengan mudah penyerang lawan melepasi kawalan pemain saya, terutama dalam situasi satu lawan satu," katanya dalam sidang media.

Menurut Dollah, corak permainan TFC tidak terkesan dengan keadaan padang yang digenangi air sebaliknya Sri Pahang terkial-kial mencari rentak akibat keadaan cuaca tidak baik.

"Saya gembira pemain tidak berputus asa mencari gol cuma kami harus terima hakikat TFC lebih tersusun malam ini (semalam) dan layak diberikan pujian," katanya.

Dalam pada itu, Dollah turut mengakui kecederaan dialami tonggak, Nor Azam Azih, yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-26, menjadi titik tolak Sri Pahang hilang tumpuan di bahagian tengah.

Katanya, jaringan Lee Tuck dan Steven Rodriguez sudah terlewat walaupun skuad itu mempunyai kelebihan seorang pemain sejak babak pertama.

"Hanya selepas rehat kami dapat menyesuaikan diri dan beberapa aspek perlawanan berjaya ditingkatkan sehingga Sri Pahang memasuki kawasan bahaya TFC.

"Malangnya, kelebihan jaringan dimiliki pasukan lawan terlalu selesa dan kami terpaksa akur dengan kekalahan secara agregat 3-9 ini," katanya.

Kredir: Sinar Harian