Kuala Lumpur City FC sedia mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium KLFA, Cheras biarpun terpaksa mengharapkan pertahanan tengah bidan terjun menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di laman itu Khamis ini.

Skuad Warga Kota itu dilihat berada dalam keadaan terbaik untuk menamatkan kemarau 29 tahun layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membawa bekalan dua gol menerusi kemenangan 2-0 di Petaling Jaya hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukanlah tugas mudah kerana mereka sekali lagi perlu berharap kepada pemain tengah, Kenny Pallraj, untuk diletakkan di bahagian benteng berikutan kecederaan yang dialami Irfan Zakaria.

Kenny, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena berkata tugasan itu sebenarnya tidak terlalu asing buat dirinya memandangkan pernah beraksi di posisi sama sewaktu bersama Perak FC, sekali gus mahu memastikan rekod tanpa kalah sepanjang 14 perlawanan di laman sendiri musim ini dapat dilebarkan.

"Memang agak terkejut apabila jurulatih (Bojan Hodak) mengarahkan saya untuk bermain di posisi itu tetapi dia telah memberitahu saya sejak dari awal memandangkan dua pertahanan tengah kami telah cedera.

"Bagi saya, posisi mana-mana sekalipun, jika kita tahu perkara asas dan mendapat sokongan rakan sepasukan, kita boleh buat yang terbaik.

"Jadi, ia bukan hanya bergantung kepada tugas saya kerana saya juga akan dibantu oleh rakan sepasukan untuk dapat beraksi dengan baik di posisi itu," katanya.

KL City juga akan bergantung kepada kecekapan penjaga gol sensasi, Kevin Mendoza, yang tidak dibolosi sebarang gol dalam tiga perlawanan terakhir, untuk memastikan mereka kekal bersaing dalam kejohanan bola sepak tertua negara itu.

Kevin berkata: "Kami sudah separuh jalan dan agak gembira ketika ini tetapi kami sedar Selangor akan melakukan segala-galanya dalam perlawanan timbal balik ini.

"Jadi, kami perlu bersedia. Kami gembira dengan keputusan ini (mendahului 2-0 secara agregat) tetapi kami perlu terus berusaha."